Sunday, December 26, 2010

Melontar kali terakhir dan berakhirnya ibadah Haji


Alhamdulillah, kami bermalam di Shisha selepas tiba dari jamrah pada awal pagi 13 Zulhijjah. 13 Zulhijjah merupakan hari Jumaat dan kami menunaikan solat Subuh di Masjid Shisha bersama ratusan jemaah lain. Di masjid ini kami bertemu 2 orang anak-anak kecik (dalam 7-8 tahun) yang meminta sedekah. Jiwa mereka sungguh murni. Apabila si adik menangis, si kakak cepat-cepat memujuk dan apabila kami memberikan wang, mereka saling berkongsi. Ada kelainan dari peminta sedekah yang pernah kami jumpa di tempat-tempat lain.

Kami masih perlu melontar untuk hari ke-3 dan hanya selepas itu barulah selesai Haji kami. Kami memutuskan untuk melontar sebaik selesai solat Jumaat. Perjalanan 15 minit ke jamrah sangat berlainan dengan hari-hari sebelumnya kerana suasana agak lengang tetapi sangat panas. Sekali lagi, kami dapat melontar dengan tenang dan selesa seperti hari-hari sebelumnya, alhamdulillah.



Anak-anak gembira dengan suasana jamrah yang lengang; berlari-larian mereka di sekitar kawasan jamrah sepanjang perjalanan tersebut.


Selesai melontar, berakhirlah ibadah Haji untuk kami. Ya Allah! terimalah ibadah kami dan berilah kebaikan kepada kami dan anak-anak kami. Mohon kami dijemput lagi sebagai tetamu-Mu, ya Allah. Indah sungguh pengalaman bertamu dengan-Mu ya-Rabb.

No comments:

Post a Comment