Hari yang dinanti-nanti akhirnya tiba. Seminggu sebelumnya, kami sibuk mengemas beg-beg yang akan dibawa berulang-kali. Sibuk mengurangkan jumlah barang-barang yang hendak dibawa sebenarnya. Setiap benda yang telah dimasukkan ke dalam beg, dipertimbangkan beberapa kali samada benar-benar perlu dibawa ataupun tidak. Tiket-tiket (e-tiket) penerbangan kami telahpun diterima melalui emel daripada pihak BHUS 2 hari yang lalu dan telah sedia dicetak. Pasport-pasport kami pula masih di tangan brother Ibraheem yang berjanji akan menyerahkan kepada kami untuk urusan pemeriksaan masuk penerbangan di Heathrow. Khabarnya, pihak BHUS juga menyediakan sebuah bas untuk membawa jemaah-jemaah dari Preston ke Heathrow yang bertolak pada jam 5 pagi dari Preston yang terletak kira-kira 350km dari London.
Kali kedua bertemu dengan brother Ibraheem, pasport-pasport kami yang kini siap dengan Visa Haji daripada Kedutaan Arab Saudi diserahkan kepada kami. Setelah kira-kira 45 minit, kami selesai urusan pemeriksaan masuk dan terus menuju ke ruang berlepas. Alhamdulillah, pemeriksaan imigresen dan keselamatan tidak memakan masa yang lama. Di ruang berlepas, kami terus menuju ke 'bilik sembahyang berbilang agama' yang biasanya dipenuhi dengan orang-orang Islam untuk menunaikan solat Zuhr dan Asar secara Jamak dan Qasar. Menurut pengiraan kami, solat Maghrib dan Isha' boleh ditunaikan di Cairo. Selepas menunaikan solat Zuhr dan Asar, kami memeriksa maklumat perlepasan penerbangan untuk mengetahui pintu berlepasnya penerbangan MS778. Perut mula terasa lapar dan kami sempat makan tengahari sandwich di salah sebuah restoran di situ. Alhamdulillah.
Penerbangan dari London ke Cairo memakan masa kira-kira 6 jam dan sebaik menaiki pesawat, perasaan bimbang dan risau yang tersemat di dada selama ini mula terungkai. Insya-Allah, kami akan dapat menunaikan Haji pada tahun ini. Semasa di dalam penerbangan, sempat berkenalan dengan Brother Abdul-Waajik yang juga menggunakan pakej yang sama, seorang farmasist dari Preston yang cara berpakaian dan gayanya begitu selamba sekali. Tetapi bila dikenali lebih mendalam, rupanya agak fasih berbahasa Arab yang dipelajarinya sejak beberapa tahun lalu. Beliau gembira dapat berbahasa Arab ketika memesan makanan di dalam pesawat dari pramugari bangsa Mesir.
Di Cairo, kami ada tempoh 2 jam sebelum penerbangan selanjutnya ke Jeddah. Sebaik tiba di terminal antarabangsa, jemaah Haji yang dikenalpasti melalui sekeping kad kuning terang yang diberikan semasa pemeriksaan masuk di Heathrow, diarahkan bergerak ke sebuah pintu menuju ke tempat menunggu bas untuk ke sebuah terminal lain manakala para penumpang lain bergegas keluar dari terminal. Melihatkan panjangnya barisan para jemaah yang sedang melalui pemeriksaan sebelum dibenarkan turun melalui pintu tersebut, kami membuat keputusan untuk menunaikan solat Maghrib dan Isha' dahulu di terminal antarabangsa; di satu sudut agak terpencil tidak berapa jauh dari pintu tempat para jemaah beratur. Sebaik sahaja selesai solat, kelihatan barisan sudahpun pendek dan kami antara yang paling akhir turun ke tempat menunggu ditingkat bawah.
Penerbangan dari Cairo ke Jeddah mengambil masa 2 jam dan kami tiba di Jeddah pada jam 2.30 pagi waktu tempatan. Pihak pengurusan lapangan terbang menguruskan ketibaan para jemaah menurut kumpulan. Hanya apabila kumpulan yang tiba sebelumnya telah selesai menjalani pemeriksaan imigresen, barulah kumpulan yang tiba selanjutnya dibenarkan beratur untuk pemeriksaan imigresen. Sementara menunggu, kami diberitahu oleh pihak BHUS bahawa penerbangan ke Jeddah adalah pada jam 07:00 pagi dan dinasihatkan agar bersabar serta jangan risau kerana masa masih panjang. Hati kami agak girang kerana menurut pengiraan kami, insya-Allah kami akan dapat menunaikan solat Subuh di Jeddah.
Dalam kekalutan tersebut, tercetus di hati ini betapa tekunnya petugas-petugas di Jeddah ini menyambut dan 'memproses' jemaah haji yang jumlahnya ratusan ribu. Suasana di waktu Subuh tersebut tidak ubah seperti suasana mana-mana pejabat kerajaan pada waktu paling sibuk. Selesai semua urusan rasmi, maka kami pun secara rasmi berada di bumi Saudi Arabia, alhamdullilah. Tercetus di hati, alhamdulillah...insya-Allah kami akan dapat menunaikan Haji pada tahun ini. Setiba di luar, kami disapa oleh rakan-rakan serombongan yang menyedari 'kehilangan' kami. Malah ramai yang menghulurkan makanan dan minuman sebagai sarapan untuk kami dan anak-anak....daripada yang di bawa sebagai bekal dari rumah hinggalah yang baru dibeli di Jeddah. Alhamdulillah...dalam kesukaran, ukhuwah terbina. Beg-beg yang kami bawa diangkat oleh mereka ke atas dan diletakkan di atas sebuah 'trailer' berisi beg-beg ahli-ahli rombongan kami. Dalam rombongan pakej 19 hari kami, terdapat kira-kira 40 orang jemaah, termasuk kami berlima dan sepanjang 19 hari di tanah suci, hubungan kami menjadi akrab dan saling membantu.
No comments:
Post a Comment