Sunday, December 26, 2010

Seminggu di Makkah al-Mukarramah


Kami bermalam untuk kali terakhir di apartment Shisha pada malam tersebut dan esoknya kami akan mendaftar masuk ke penginapan di Makkah selama 7 hari. Penginapan yang disediakan oleh pihak penganjur adalah Hotel Intercontinenal Dar-Tawheed, Makkah yang terletak benar-benar di hadapan Masjidil Haraam. Alhamdulillah, memang sangat mudah untuk urusan ibadah terutamanya dengan anak-anak. Seminggu di sana dihabiskan dengan beribadah di Masjidil Haraam, bertawaf sunat, beriktikaf, mengaji al-Quran, bersolat jemaah, bercerita dengan anak-anak, berbual-bual dengan para jemaah lain yang kami temui di sana. Indah sekali pengalaman tersebut.

Namun apabila ditanya kepada anak-anak, apakah pengalaman Haji yang paling mereka suka, seminggu di hotel bertaraf 5 bintang ini tidak dapat menandingi ibadah Haji itu sendiri. Anak-anak memilih pengalaman di Mina (khemah, berjalan ke jamrah, melontar) dan Saei sebagai pengalaman yang paling mereka suka. Wukuf di Arafah yang panas, bermalam di Muzdalifah berbumbungkan langit, bermalam di Mina yang berhimpit-himpit, berjalan kali 7-8 km setiap hari untuk pergi melontar, bertawaf dalam keadaan yang sesak, bersaei, semuanya, lebih indah daripada pengalaman 7 hari/malam di Hotel Intercontinental Dar-Tawheed.

26/11/2010 bersamaan 30 Zulhijjah 1431, kami menunaikan Tawaf Wadaa selepas solat Maghrib dan dengan hati yang sungguh meruntun-runtun meninggalkan bumi Haraam...dengan harapan dan doa agar 21 hari kami di sana menjadi sempadan permulaan yang baru untuk kami menjadi hamba Allah yang hidupnya hanya demi mengabdikan diri kepada-Nya. Dan moga kami berpeluang lagi untuk kembali ke bumi bertuah ini sebagai tetamu Allah yang Esa........

Perjalanan dari Jeddah ke Cairo ke London berjalan lancar dan kami mendarat di London Heathrow pada 27/11/2010 yang suhunya kosong darjah celcius (tahap beku) dan hanya diraikan oleh pegawai imigresen beragama Islam yang tersenyum lebar melihat kami yang baru pulang dari menjadi tetamu Allah.

No comments:

Post a Comment